Management Course for College Leader (McCOLL) 2022
Reported by MeKaR Broadcasting Crew
Image
Wakil Kolej Cempaka yang menyertai Management Course for College Leaders selama 3 hari

KOTA SAMARAHAN - 7 Dis: Pada 2 hingga 4 Disember, seramai 11 orang ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Cempaka bersama-sama 2 orang Felo, 2 orang Pembantu Felo dan Pengetua Kolej telah menghadiri McCOLL 2022 di Kem Wawasan Negara Sampadi, Lundu. Program ini bertujuan untuk memastikan para ahli JPK Kolej Kediaman UNIMAS didedahkan kepada perihal tadbir urus JPK Kolej Kediaman, tatacara penyediaan kertas kerja dan proses tadbir urus kewangan program, pengurusan stres dan lain-lain yang berkaitan aktiviti pemajuan pelajar di peringkat Kolej Kediaman.  Program anjuran Jawatankuasa Pengetua UNIMAS ini telah melibatkan 10 kolej kediaman dengan penyertaan keseluruhan seramai 100 peserta.   

Slot pertama - 'Akulah JPK' dan Modul Media & Publisiti dikendalikan dengan penuh bertenaga oleh Tuan Pengetua Cempaka, Encik Mohd Hafizan bin Hashim. Rata-rata peserta yang hadir amat teruja dengan perbincangan organisasi JPK dan skop tugas Majlis Tertinggi dan Exco di samping pencerahan berkaitan punca kuasa JPK di sesebuah Kolej Kediaman.

Pada
pukul 4.45 petang, riadah pertama dilaksanakan iaitu pemudahcara oleh Pembantu Felo. Semua orang menikmati makan malam yang enak pada jam 7.30 malam. Pada jam 8 malam pula, Cik Siti Nor Ain binti Musa iaitu Pengetua Kolej Seroja memberi bengkel mengenai perancangan aktiviti kolej, penulisan kertas kerja dan pelaporan. Semua peserta dapat menimba ilmu pengetahuan yang berkualiti untuk memantapkan kemahiran insaniah. Terdapat juga pemudahcara yang dikemukakan oleh Encik Mazdan, Felo Kolej BRC. Semua program pada hari tersebut ditamatkan pada 10.30 malam untuk memberi ruang kepada semua orang bagi berehat.
 

Hari kedua bagi program McCOLL telah dimulakan dengan senaman ringan. Selepas bersarapan, ahli JPK telah menerima taklimat berkenaan Keselamatan dan Kesejahteraan Kolej Kediaman daripada Tuan Idzhar Shaffarul Hasli yang merupakan Pegawai Keselamatan Kanan UNIMAS. Beliau telah menekankan tentang protokol yang perlu dipraktikkan oleh semua ahli JPK bagi memastikan keselamatan, disiplin, kesihatan dan kesejahteraan penduduk kolej dapat dikekalkan.

Program diteruskan lagi dengan ceramah berkenaan Pengurusan Stres dan Mental Health oleh Dr. Sopian Bujang yang merupakan pengetua bagi kolej Allamanda. Ceramah ini diberikan kepada semua ahli JPK bagi memastikan mereka dapat menyeimbangkan antara tugas mereka sebagai pelajar dan tugas mereka sebagai JPK kolej masing-masing. Sebelum majlis pada hari kedua tamat, para JPK telah menerima taklimat mengenai ‘Event Management & Community Outreach Project’ Dari Dr. Muhammad Hamdi Mahmood, pengetua Kolej Rafflesia.

Image
Tuan Pengetua Kolej Cempaka, Sir Hafiz sebagai Zeus
Sejurus itu, pada jam 4:30 petang ahli-ahli JPK telah diperuntukkan masa yang secukupnya bagi membuat persiapan Malam Kebudayaan. Terdapat 10 kumpulan yang terdiri daripada setiap ahli JPK dari pelbagai kolej. Para peserta telah diarahkan untuk mencari bahan-bahan di sekitar mereka bagi acara 'Fashion Show' yang bertemakan kisah dongeng yang akan berlangsung pada Malam Kebudayaan.

Pada jam 8.00 malam telah berlangsungnya acara kemuncak yang ditunggu semua iaitu Malam Kebudayaan McCOLL. 10 kumpulan yang bertanding telah mempamerkan pakaian dan kostum mereka yang bertemakan kisah dongeng seperti Aladdin, Peter Pan dan sebagainya. Acara 'Fashion Show'ini amat menarik perhatian ramai kerana kerenah ahli JPK yang mencuit hati serta kreativiti yang ditunjukkan oleh para peserta. Di samping itu, terdapat penampilan khas daripada En. Mohd Hafizan, Pengetua Kolej Cempaka yang mewakili pasukan urus setia bagi acara tersebut. Beliau telah tampil sebagai Zeus dari mitos Yunani dan kelihatan sangat gah. Malam Kebudayaan ini dipenuhi dengan gelak tawa dan senyuman kegembiraan daripada para JPK dan pasukan urus setia.
Image
Dari kiri: Saudara Faizal, saudara Malcolm dan saudari Alice pada malam kebudayaan

Pada hari terakhir, program diteruskan lagi dengan perkongsian mengenai pengurusan kewangan yang disampaikan oleh Encik Zahiruddin bin Md. Jais selaku Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Khidmat Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Peserta-peserta banyak mengajukan soalan kepada Encik Zahiruddin tentang bajet yang diperuntukkan kepada kolej kediaman masing-masing serta memberi maklum balas melalui Google Form.

Akhir sekali, pengetua Kolej Allamanda iaitu Dr. Sopian Bujang telah menggantikan TNC HEPA Prof. Dr. Kamarudin Kana untuk merasmikan penutupan program McCOLL 2022 dan diteruskan dengan tayangan montaj yang disediakan. Tanpa diduga, saudara Malcolm Peter selaku Exco Fasiliti dan Logistik dari Kolej Cempaka telah berjaya mendapat anugerah peserta lelaki terbaik sepanjang program McCOLL berlangsung. Beliau telah dipilih sebagai peserta lelaki yang terbaik kerana peribadinya yang menonjol dan keaktifan beliau sepanjang program berlangsung.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan makan tengah hari sebelum bertolak kembali ke kolej kediaman masing-masing. Melalui program McCOLL 2022, peserta-peserta berasa sangat gembira kerana dapat berkumpul dan bertukar-tukar pendapat dengan exco-exco dari setiap kolej yang berlainan.